top of page
Search
Writer's pictureEnvironmental and Occupational Health Society

INSIDEN PENCEMARAN BAHAN KIMIA DI PASIR GUDANG, JOHOR


  1. Persatuan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan (EOHS) hari ini berdukacita dan berkongsi kesedihan dengan seluruh penduduk Pasir Gudang, Johor yang terjejas dengan tragedi pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim. Akhbar Kosmo Online hari ini (15 Mac 2019) mencatatkan rekod mangsa terbaharu adalah seramai 780 orang dengan jumlah terkini seramai 3,555 orang. Sebanyak 111 sekolah, 92 tadika dan taska di kawasan terjejas juga ditutup bagi mengelakkan peningkatan jumlah mangsa serta 51 laporan polis diterima berhubung kes pencemaran bahan kimia ini (Astro Awani, 15 Mac).

  2. Langkah penutupan sekolah, tadika dan taska yang diambil oleh pihak berwajib adalah tepat bagi mengelakkan kejadian keracunan di kalangan kanak-kanak berulang kerana dikhuatiri kesan bahan tercemar ini. Sekiranya masih terdapat beroperasi, kami menyarankan agar ianya ditutup dengan kadar segera bagi mengelakkan lebih ramai kanak-kanak menjadi mangsa.

  3. Kami menyeru kaum keluarga serta penduduk di kawasan terjejas agar meningkatkan amalan kebersihan serta langkah berjaga-jaga dan peka kepada perkembangan semasa berhubung insiden ini. Jauhi daripada kawasan kerjejas dan dapatkan rawatan segera jika mengalami gejala seperti loya, muntah, pedih mata, sakit dada dan sesak nafas. Elakkan dari melakukan sebarang aktiviti seperti rekreasi, memancing dan sebagainya berdekatan dengan kawasan Sungai Kim Kim Pasir Gudang sehingga keadaan diisytiharkan selamat. Golongan kanak-kanak, warga emas, dan kumpulan berisiko seperti ibu mengandung, dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah. Anda juga dinasihatkan untuk menjaga kebersihan diri dan mandi serta mencuci pakaian secara berasingan bagi mengelakkan kebarangkalian pendedahan melalui

  4. Dapatkan maklumat yang tepat dari media-media utama dan tidak mempercayai khabar-khabar selain itu yang diragui kesasihannya dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa. Kami juga menyeru jasa baik semua untuk tidak berkongsi maklumat yang tidak pasti kesahihannya.

  5. Sebagai penyelidik dalam bidang kesihatan persekitaran dan keselamatan pekerjaan, kami melihat insiden ini sebagai sesuatu yang amat berbahaya dan kritikal. Apatah lagi ia melibatkan banyak orang awam serta isu pencemaran sungai yang tidak berkesudahan. Atas kapasiti maklumat yang terhad dan olahan kami berdasarkan maklumat daripada media massa, sebagai ahli sains, kami merasakan perlunya kepada langkah evakuasi atau pengosongan kawasan dilakukan bagi mengelakkan lebih banyak mangsa terdedah kepada bahan ini. Langkah ini juga bagi mengurangkan kesan kesihatan yang berpanjangan yang boleh menyebabkan kesan yang lebih buruk.

  6. Kami ingin menggesa agar pihak berwajib bersifat lebih tegas dalam menangani isu ini. Kami ingin menyarankan agar Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi yang terlibat dapat meneliti dan menguatkuasakan akta serta polisi yang berkaitan dengan insiden ini. Mereka yang terlibat perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang telah mereka lakukan. Tindakan saman dan denda tidak lagi memadai. Mereka yang bertanggungjawab perlulah diheret ke muka pengadilan dan dipenjara bagi memberikan pengajaran kepada yang lain, agar perkara yang sama tidak berulang. Kami berpendapat, setiap daripada kita sebagai penduduk atau komuniti setempat berhak untuk mendapatkan keadilan dan mereka berhak untuk tinggal di kawasan yang selamat dan bersih dan tidak ada sesiapa pun yang berhak mencemarkan kawasan persekitaran tempat tinggal mereka tanpa dikenakan tindakan undang-undang.

  7. Untuk tempoh beberapa hari insiden ini berlaku, kami mengikuti perkembangan insiden ini menerusi media massa. Namun begitu, amat sedikit perkongsian maklumat yang kami dapati berkenaan kes ini dan hampir tidak ada di laman web agensi-agensi kerajaan yeng terlibat. Kami ingin menggesa agar pihak berwajib lebih telus dalam perkongsian tentang maklumat yang berkaitan dengan insiden ini terutamanya berkaitan dengan bahan kimia yang terlibat dalam insiden ini dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi melindungi orang awam daripada kesan akut dan kronik. Terlalu banyak maklumat yang disebarkan tanpa diketahui kesasihannya. Oleh itu, bagi mengelakkan dari timbulnya maklumat yang tidak tepat dan tidak sahih disebarkan yang hanya akan menimbulkan serangan panik di kalangan penduduk setempat, adalah disarankan suatu agensi bertanggungjawab dalam mengumpulkan kesemua data dan memaparkannya di layar media bagi rujukan orang awam. Pihak berwajib juga perlu memikirkan pilihan untuk langkah evakuasi sekiranya difikirkan perlu.

  8. Kami berpendapat adalah lebih baik jika usaha-usaha untuk menangani insisden ini dilakukan secara bersepadu dan diketuai oleh satu badan berwajib yang bertanggungjawab menguruskan atau menyusun atur tindakan keselamatan mahupun tindakan pembersihan. Kami mencadangkan agar suatu badan atau jawatan kuasa bencana ditubuhkan di bawah agensi yang dipertanggungjawabkan seperti NADMA agar boleh mengintegrasikan jentera-jentera mereka bagi membantu usaha-usaha pembersihan dan keselamatan diambil. Ini bagi membolehkan usaha-usaha pembersihan dan keselamatan dapat dilaksanakan dengan lebih terancang dan efektik memandangkan kesan pencemaran berlaku dalam waktu yang cukup singkat dan lebih membimbangkan ia memberi kesan akut dan kronik kepada kanak-kanak.

  9. Dengan rasa rendah diri, kami juga ingin memohon jasabaik pihak majikan di kawasan yang terjejas untuk memberi kelonggaran kepada mereka yang terkesan dari insiden di Pasir Gudang ini bagi memberikan mereka cuti kecemasan agar mereka lebih tenang dan mampu untuk berhadapan dengan insiden yang tidak terancang ini. Dengan kerjasama yang diberikan, pihak majikan bukan sahaja membantu komuniti ini malah mereka juga dilihat lebih prihatin terhadap permasalahan setempat sehingga isu ini reda atau selesai.

  10. Kami amat berbangga dengan petugas penyelamat yang dikerahkan ke tempat kejadian dan memberikan khidmat mereka selama beberapa hari ini tanpa henti. Namun begitu, kami ingin memohon agar wira-wira ini turut memelihara diri mereka daripada kesan pencemaran ini dengan menggunakan peranti keselamatan diri yang sesuai, agar kesan dapat dihindari pada mereka akibat dari terlalu lama terdedah kepada punca pencemaran. Lindungi diri anda dengan memakai topeng pernafasan yang sesuai, dan kenalpasti tanda-tanda awal simtom keracunan. Dapatkan rawatan secepat mungkin. Ikuti arahan pihak berkuasan yang bertanggungjawab di tempat kejadian. Bersihkan diri anda sebaik sahaja meninggalkan kawasan kejadian.

  11. Dari pihak persatuan, kami ingin menyatakan kesudian dan bersedia untuk membantu dari segi apa pun yang perlu seperti dari segi nasihat kepakaran, latihan dan kesedaran awam. Sekiranya bantuan dari segi teknikal ini diperlukan, kami bersedia untuk berkhidmat secara sukarela. Mohon unjurkan kepada kami bentuk bantuan yang diperlukan agar kami dapat usahakan dengan sebaiknya.

Akhir kata, kami memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa agar dapat memberi bantuan kepada kita semua terutamanya kepada mereka yang terlibat di kawasan insiden pencemaran ini agar kuat dan dapat menanganinya dengan baik dan selamat.



Sekian,


Persatuan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan (EOHS)

Putrajaya,

Jumaat, 15 Mac 2019


94 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page