top of page
Search
Writer's pictureEnvironmental and Occupational Health Society

Syawal dinanti Menjelang Tiba

Assalamualaikum semua


Alhamdulillah, bersyukur kita kerana masih diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk bersama-sama Ramadhan. Beribadah bersama keluarga, berbuka bersama yang tersayang, bekerja dan berusaha dalam rahmah, serta dapat memanjang sedekah dan jariah di bulan yang mulia ini.



Kini, setelah Ramadhan hampir meninggalkan kita, rasa hiba mula terasa. Adakah kita masih diberi kesempatan untuk menyambut dan beribadah di bulan Ramadhan yang mulia ini. Di malam terakhir Ramadhan ini, marilah kita memohon ke hadrat yang maha Esa, agar kita diberi kesempatan untuk mengecapi malam LailatulQadr. Menambah baik amalan, apa yang kurang serta memohon kepada Nya, agar kita diberi peluang lagi untuk bersama Ramadhan.

Kehangatan syawal semakin terasa. Masing-masing sibuk mengatur rencana. Pelbagai misi dan rencana sedang diatur satu persatu, agar Syawal yang menjelang tiba nampak sempurna. Namun begitu, berpada-padalah dalam segala hal. Bagi mengelakkan sebarang perkara di luar jangkaan, berikut beberapa langkah yang perlu diambil perhatian dan tindakan:


1. Pasti anda semua sudah bersedia untuk pulang ke kampung. Tapi, tunggu dulu, periksa semua perkakas elektrik di rumah anda, sudahkah ianya di matikan? Pastikan bahan makanan di peti sejuk dan sisa makanan dibawa balik/dibuang. Pastikan semua pintu ditutup dan dikunci. Pastikan sistem penghawa dingin ditutup. Lampu perlu dipasang di satu dua tempat di dalam rumah bagi mengelakkan kecurian. Pastikan pintu berkunci. Pesan pada jiran yang tidak pulang ke kampung, minta mereka bantu awasi rumah anda.




2. Setelah rumah dipastikan berada dalam keadaan selamat, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik. Bukan itu sahaja, pastikan anda juga berada dalam keadaan yang cergas dan bersedia untuk memandu. Jika letih, tangguhkan dahulu perjalanan anda. Ingat, tidak akan lari gunung dikejar. Apa yang penting, ialah keselamatan anda sekeluarga. Jangan memandu dalam keadaan mengantuk atau letih. Berhenti dahulu, rehatkan diri, baru lah sambung memandu. Keluarga di kampung menantikan kepulangan anda dalam keadaan selamat.




3. Berbelanja biarlah berpada-pada. Amalkan keserhanaan dalam segala segala hal. Beli makanan jangan melampaui kepada apa yang diperlukan, kerana ianya akan menyebabkan pembaziran. Oleh kerana pembaziran itu, jumlah sisa yang dijana dan dibuang di tempat pelupusan sisa bertambah tinggi terutamanya di musim perayaan ini. Oleh itu, sama-sama kita muhasabah diri. Berhenti berbelanja, apabila kita tidak pasti bila mahu memakannya atau memasak makanan tersebut. Bukan kah pembaziran itu amalan syaitan?




4. Kunjung mengunjung merupakan amalan murni, bermaafan bersama saudara mara yang telah lama tidak dikunjungi. Namun begitu, keselamatan ketika memandu untuk ke rumah sanak saudara perlu diberi perhatian. Pakai tali pinggang keledar, ketika memandu. Pastikan anak-anak kecil menggunakan kerusi khas dan turut dipakaikan tali keledar. Jangan pula anda menukar tempat duduk belakang kenderaan menjadi seperti katil untuk keselesaan anak anda kerana ianya sangat berbahaya, lebih-lebih lagi apabila berlakunya kemalangan. Malang, tidak berbau. Oleh itu, kita sentiasa perlu bersedia dan melindungi diri serta keluarga. Jangan menggunakan telefon ketika memandu. Jika anda bijak, anda tidak akan sekali-kali menggunakan 'smart phone' ketika memandu. Ingat, kelalaian anda sesaat, kesannya seumur hidup.



5. Jangan lupa ya, semak keadaan trafik di portal-portal terpilih, bagi memudahkan anda merancang perjalanan anda. Tidak lah letih nanti. Jika jalan sedang sesak, tangguhkan dulu perjalanan. Raya kan sebulan.....






Di kesempatan ini, kami Ahli Lembaga Persatuan EOHS, ingin menyusun sepuluh jari, memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang telah dilakukan sepanjang kami melaksanakan program bersama Persatuan. Kami mendoakan agar sambutan Syawal kali ini, meriah buat anda, yang dapat mendekatkan yang jauh, merapatkan yang renggang.

Jangan lupa, terus bersama kami, dan menyokong kami, serta sertai kami, dalam ISEOH 2020. Sokongan anda, amat kami hargai.


Akhir kata, terima lah serangkap pantun dari kami;


Gemersik takbir, mengundang gembira,

Salam diutus, tanda ingatan,

Syawal dinanti, menjelang tiba,

Salam diutus, pohon kemaafan.


Selamat menyambut Aidilfitri, Maaf zahir & batin.






157 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page