Search
  • Environmental and Occupational Health Society

10 Fakta Tentang Penggunaan Tembakau di Malaysia

Updated: Jan 29, 2019


Oleh: Prof. Madya Dr. Emilia Zainal Abidin

Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan,

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,

Universiti Putra Malaysia


[1] Prevalen perokok lelaki di Malaysia berada di anggaran kedudukan 20% tertinggi di dunia selepas Indonesia dan Bangladesh.





Graf berikut menerangkan secara grafik tentang prevalen perokok lelaki di dunia untuk tahun 2015 dan 2016.





[2] Mengapa lelaki cenderung kepada penggunaan rokok dan tembakau yang tinggi?  


Norma sosial. Perokok terutama di Malaysia mahupun di Asia adalah lebih condong kepada kaum lelaki. Penduduk Asia umumnya seperti Malaysia, Indonesia dan Bangladesh juga mempunyai peratusan (prevalens) perokok yang lebih tinggi relatif kepada negara-negara lain. Faktor dorongan selain dari tekanan rakan sebaya atau "peer pressure" , persekitaran sosiobudaya yang telah lama tertanam dengan aktiviti berkaitan rokok dan tembakau sebagai sesuatu yang "diterima" dalam masyarakat teruatama di kalangan kaum lelaki. 

Prevalens atau peratusan tertinggi perokok dalam kelompok dewasa adalah dalam lingkungan mereka yang berumur 21 hingga 30 tahun (Global Adults Tobacco Survey, GATS, 2011). Manakala di kalangan remaja lelaki, 33% daripada mereka adalah perokok (National Health and Morbidity Survey, NHMS, 2015).

[3] Lim et al., (2005) menyatakan prevalen perokok di kalangan lelaki berumur 60 tahun dan ke atas adalah 39.2%. Dianggarkan terdapat 45 ke 60% kanak-kanak terdedah dengan asap rokok di Malaysia.


[4] Kementerian Kesihatan Malaysia dalam Sasaran National Strategic Plan (NSP) on Tobacco Control 2016-2020 telah menetapkan 5% prevalen perokok pada 2045. Namun begitu, peratusan terkini berdasarkan kajian terbaru 2015 (National Health and Morbidity Survey) mendapati,  prevalen perokok telah menurun dari yang dilaporkan oleh GATS 2011, iaitu dari 23.1% kepada 22.8% . Sasaran NSP untuk tahun 2025 ialah pengurangan peratusan perokok sedia ada kepada 15%. 


[5] England telah menunjukkan kejayaan dalam mengawal penggunaan tembakau di kalangan masyarakatnya. Prevalen perokok telah merekodkan penurunan sebanyak 5% dari 20.2% pada tahun 2011 ke 15.5% pada tahun 2017, iaitu rekod terendah yang dicapai. Dua perkara yang menjadi fokus negara ini sejak 2011 lagi adalah dengan memperkenalkan kawasan bebas asap rokok membendung atau melarang pengiklanan berkaitan tembakau. 

Dengan pengkuatkuasaan kawasan bebas rokok yang dijalankan dengan komprehensif, dan memberangsangkan, telah mendapat sokongan masyarakat setempat, sama ada yang tidak merokok mahupun yang mereka yang merokok. Ini adalah salah satu usaha yang dikatakan telah menambahkan peratusan berhenti merokok di England dan juga mengurangkan pendedahan asap rokok pasif. 

Selain itu, usaha kawalan tembakau difokuskan kepada penghasilkan amaran grafik kesihatan yang lebih besar, larangan pembelian rokok secara proksi, larangan merokok dalam kereta yang membawa kanak-kanak dan pembungkusan kotak rokok standad. Secara kolektifnya, usaha kawalan tembakau yang dilaksanakan di England telah berjaya mengurangkan penggunaan rokok dalam masyarakat. 


Satu kaedah yang mungkin boleh ditekankan dalam usaha mengurangkan penggunaan rokok ialah "ban at the point of sale" yang masih belum dilaksanakan di Malaysia. 


[6] Adakah pelaksanaan kawasan larangan merokok sejak 2007 adalah langkah yang berkesan? 


Undang-undang berkaitan dengan kawasan larangan merokok di Malaysia telah jelas diperuntukkan. Kawasan larangan merokok telah dijadikan lebih komprehensif, dengan penambahan jenis premis. Seperti yang dilaporkan di England, pelaksanaan kawasan bebas rokok sejak 2007 di sana mampu membantu untuk menurunkan prevalen perokok seperti yang dicatatkan dari tahun ke tahun. Antara sebab utama yang dikaitkan dengan bekerkesanan ini adalah "denormalization of tobacco use" atau denormalisasi penggunaan tembakau. 


Denormalisasi yang dimaksudkan adalah tindakan yang dilaksanakan untuk mendorong dan menguatkan persepsi orang ramai tentang tingkah laku yang menjejaskan kesihatan. Dalam konteks ini adalah penggunaan tembakau, sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima secara sosial. Larangan merokok yang diimplementasikan di premis-premis di Malaysia ialah suatu usaha denormalisasi yang diharap dapat membantu mengurangkan pendedahan orang awam kepada asap rokok.


Terbaharu, kawasan larangan merokok telah diperhalusi supaya kedai-kedai makan yang berkonsep terbuka menjadi kawasan bebas rokok bermula 1.1.2019. Keadaan ini sudah makin menyamai kedaan di England, di mana semua kawasan dalam bangunan untuk orang awam tertakluk kepada undang-udang kawasan bebas asap rokok. Terdapat beberapa negeri di Malaysia yang telah secara sukarela melaksanakan program Smoke-Free City.  Data yang dilaporkan dalam NHMS 2015 menyatakan, prevalen merokok untuk 3 negeri iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Johor yang telah melaksanakan Program Smoke-Free City adalah rendah berbanding dengan purata nasional. 

[7] Bagaimana pula dengan pelaksanaan dan pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang ini?


Pelaksanaan undang-undang dapat dilihat dengan wujudnya papan-papan tanda larangan merokok di pelbagai tempat yang termasuk di dalam kawasan-kawasan larangan tersebut. Pengkuatkuasaan undang-undang larangan merokok tertakluk kepada kawal-selia Kementerian Kesihatan. Pergantungan sepenuhnya kepada pengkuatkuasaan untuk memastikan pelaksanaan undang-undang adalah 100% adalah sesuatu yang tidak mampu dilaksanakan kerana tentunya pihak kerajaan mempunyai limitasi dari sudut tenaga kerja dan sebagainya. Seperti kempen-kempen kesihatan yang lain, pematuhan kepada larangan merokok perlu diterapkan sebagai suatu promosi kesihatan atau amalan kehidupan sihat oleh masyarakat. Kesedaran masyarakat juga perlu ditingkatkan dari masa ke semasa melalui pelbagai cara. 


[8] Bagi melindungi perokok pasif, implementasi kawasan larangan merokok dengan komprehensif amat diperlukan. Seperti mana yang diterangkan sebelum ini, larangan merokok menyumbang kepada denormalisasi penggunaan tembakau yang membawa kepada peningkatan peratusan berhenti merokok dan juga pengurangan pendedahan asap rokok pasif. Di England, data menunjukkan yang kawalan tembakau ini berkait dengan peningkatan jumlah "Rumah Bebas Asap Rokok" di mana rumah-rumah terutamanya yang ada kanak-kanak menguatkuasakan larangan merokok di dalam rumah. Larangan tersebut dikenakan kepada yang tinggal di rumah itu sendiri (seperti ibu atau bapa yang merokok) atau orang dewasa yang datang melawat.          


[9] Terdapat kajian di England mengenai Intervensi Maklumbalas yang bersifat memberikan motivasi. Intervensi yang dimaksudkan menggunakan kaedah pengukuran bahan pencemar dari asap rokok yang diukur secara “personalised” di rumah responden untuk menjadi indikator kepekatan bahan pencemar udara tersebut.  Kaedah tersebut menggunakan mesin laser yang dinamakan Dylos untuk mengukur partikel halus (PM2.5) yang menjadi indikator pencemar udara yang terhasil akibat pembakaran rokok (rokok konvensional).


Mesin tersebut mengukur partikel asap rokok (menggunakan algorithm yang spesifik) di rumah peserta dan mentransmisikan maklumat yang diukur terus kepada penyelidik melalui wi-fi. Data yang diterima diproses dengan mudah melalui perisian yang dicipta dan maklumat  spesifik kepada satu-satu peserta dapat dizahirkan sebagai graf dalam risalah yang mudah difahami. 


Risalah yang telah disesuaikan dengan seseorang peserta tersebut boleh dihantar kepada pemiliknya melalui perisian telefon. Risalah tersebut adalah untuk menggalakkan ibu bapa mengurangkan pendedahan asap rokok pasif kepada kanak-kanak. Intervensi ini sedang dilaksanakan dalam kajian kecil di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia. 


[10] 'Nicotine delivery' ialah kaedah yang digunakan untuk membantu perokok berhenti merokok. Antara kaedah yang selalu digunakan ialah nicotine patch yang ditampal di lengan atau nicotine gum yang dikunyah seperti getah gum. Ianya boleh digunakan oleh perokok untuk membantu mereka menghentikan tabiat merokok. Ianya perlu digunakan di bawah pengawasan doktor dan boleh diperolehi dari klinik-klinik seperti klinik berhenti merokok yang terdapat di seluruh negeri di Malaysia. 


Rujukan

National Health Morbidity Survey (NHMS) 2015. 

http://iku.moh.gov.my/images/IKU/Document/REPORT/nhmsreport2015vol2.pdf

GATS 2011. Institute For Public Health. Report of the Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia. Kuala Lumpur; 2011.

Lim KH, Amal NM, Hanjeet K, Wan Rozita WM, Sumarni MG. Prevalen, Pengetahuan Dan Sikap Tentang Bahaya Merokok Di Kalangan Warga Tua Lelaki Yang Berusia 60 Tahun Dan Ke Atas Di Malaysia. Malaysian J Public Heal Med 2005; 5(2): 32-8.

http://jknj.jknj.moh.gov.my/ncd/strategiknsp.pdf

http://www.e-mjm.org/2016/v71s1/smoking-research.pdf


#stopsmoking

#smokingbanned

#merokokdankesihatan

#eohsmy

60 views0 comments

Recent Posts

See All